Kes pertikaian tanah seluas 4,000 ekar antara Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB) dengan 171 pekebun kecil yang mendapat Perintah Injunksi daripada Mahkamah Tinggi Tawau pada 1 Februari 2008 membukti kebodohan Polis Malaysia.
Seorang Aktivis Masyarakat, O.K.K. Hassnar M.P. Ebrahim berkata demikian ketika diminta mengulas isu Tanah Tingkayu yang sudah berlarutan sejak lima bulan lalu.
"Sayalah orang yang memberi nasihat kepada Pekebun Kecil untuk bertindak dan bukannya takut kepada polis. Masa untuk orang awam hormat dan takut kepada polis telah berakhir. Jika CP ingin menangkap dalang pekebun kecil, tangkap dan dakwalah saya," ujar Hassnar yang mencabar PDRM menangkap beliau.
Cabaran berkenaan berpunca daripada tindakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah memberi amaran yang keras kepada semua pihak agar jangan mencampuri urusan tanah di Tingkayu sehingga sanggup menuduh beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan mendalangi para pekebun kecil dengan memberi nasihat yang salah dan menghasut pekebun kecil melanggar undang-undang.
Kata Hassnar, melatahnya seorang Pesuruhjaya Polis Sabah tetapi masih berpangkat DCP, menunjukkan betapa tidak profesionalnya polis Sabah sejak mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusof terlibat dengan Skandal Tanah di Tanjung Labian, Lahad Datu yang kini masih dalam perbicaraan.
Menurutnya lagi, betapa sukarnya seorang Pesuruhjaya Polis Sabah memahami apakah itu Injunksi Mahkamah sehingga mudah dipengaruhi oleh Pengerusi SKPTTB, Hajjah Alinah Usman Suing dengan memutar belit fakta bahawa Mahkamah Tinggi Tawau telah memberikan hak tanah seluas 4,000 ekar kepada SKPTTB, membuktikan Noor Rashid adalah seorang peniaga polis ataupun polis yang berniaga dan bukannya layak menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.
"Keputusan rayuan Perbicaraan Tanah di Mahkamah 2006 antara Yadum Atihal dengan Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur yang digunapakai oleh Hajjah Alinah untuk mempengaruhi Noor Rashid bahawa tanah tersebut milik SKTPPB adalah tidak sah dan tidak berkuatkuasa kerana tidak langsung merujuk kepada SKTPPB" ujar Hassnar yang mengibaratkan kesalahan trafik diguna pakai dalam kes dadah.
Tegas Hassnar lagi, stas sebab teknikal, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Clement Skinner telah menolak rayuan pekebun kecil, namun menerima Saman Pemula Pekebun Kecil terhadap SKTPPB melalui Saman T (21) 4 Tahun 2008 yang difailkan pada 30 Januari 2008.
Clement Skinner kemudiannya telah meluluskan Injunksi Mahkamah kepada 171 Pekebun Kecil Tingkayu pada 1 Februari 2008 yang berbunyi;
"Adalah dengan ini Plaintif (Pekebun Kecil) diberi Injunksi untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya diberi kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini."
Namun kata Hassnar, Injunksi ini gagal difahami oleh Pesuruhjaya Polis Sabah dengan mengambil sikap menyebelahi SKTPPB iaitu mendakwa bahawa tanah yang menjadi pertikaian tersebut milik SKTPPB sedangkan Injunksi yang diluluskan Mahkamah Tinggi Tawau tidak membenarkan SKTPPB mendakwa tanah tersebut milik mereka sehingga kes mereka dibicarakan dan diputuskan mahkamah.
"Jika polis menghalang pekebun kecil masuk ke kebun mereka dengan pelbagai ugutan dan dalam masa yang sama membiarkan penjenayah bermaharaja lela, maka polis melakukan Malafide dan membantu penjenayah merampas hak pekebun kecil," kata Hassnar dengan nada kesal.
Dalam pada itu, dengan nada sombong, Noor Rashid Ibrahim mengugut akan menangkap pekebun kecil yang telah memfitnah polis dan membuat laporan palsu, termasuk menuduh kekacauan ini berlaku akibat tindakan empat orang peniaga Cina dari Semenanjung Malaysia yang telah melabur di tanah berkenaan dan mempunyai kepentingan politik dan peribadi.
Namun tindakan pantas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok yang mengarahkan Biro Pengaduan Awam menjalankan siasatan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar menghantar sepasukan penyiasat dari Bukit Aman yang diketuai oleh Superintendan Chew dan ASP Fadzil telah menyebabkan Noor Rashid Ibrahim bagaikan 'Kucing hangus ekor'.
Walaupun siasatan terperinci dan menyeluruh Team Bukit Aman menjurus kepada Salahgunakuasa Polis, namun berjaya membongkar siapa sebenarnya yang terlibat dan menyaksikan sudah ada yang merasa pedas kerana tergigit lada!
Pengakuan Pengerusi SKTPPB, Hajjah Alinah di TV 3 memudahkan lagi 171 Pekebun Kecil mengambil tindakan Menghina Mahkamah bukan sahaja terhadap Alinah, malah Pesuruhjaya Polis Sabah, pekerja SKTPPB yang diupah untuk mencuri hasil pekebun kecil, malah Ketua Polis Daerah Kunak, Dingka Utoh yang mempunyai kepentingan di atas tanah berkenaan.
Mungkinkah akan berlaku pertumpahan darah di Tingkayu akibat tindakan balas pekebun kecil yang merasakan tiada lagi kedaulatan Undang-Undang di Sabah dan Keluhuran Perlembagaan telah dicabuli polis dan SKTPPB yang dilindungi polis?
Jawapannya hanya ada kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang kini masih mengerjakan Umrah dan akan memberikan sentuhan kecundang kepada Pesuruhjaya Polis Sabah yang kini sudah ada dalam senarai pertukaran besar-besaran PDRM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment